Sudah menjadi lumrah setiap makhluk ciptaan Allah Taala wujud dalam keadaan berpasangan dan berlawanan jenis dan tingkah laku. Baik lawannya buruk, hitam lawannya putih, sejuk lawannya panas, racun lawannya penawar, cantik lawannya hodoh dan begitulah seterusnya. Jika ada positif tentunya ada negatif. Jika ada syurga tentunya ada neraka. Jika ada hizbullah (parti Allah) sudah pasti wujud juga hizbusyaitan (parti syaitan). Semua situasi ini merupakan dalil-dalil kewujudan Yang Maha Khaliq (Pencipta). Dalam memperkatakan tentang hizbullah dan hizbusyaitan, al-Quran mengutarakan berbagai kisah para Anbiya’ dan umat mereka yang terdahulu sebagai tauladan dan juga sempadan kepada umat Nabi Muhammad selaku Rasul akhir zaman. Antaranya ialah kisah Qarun yang hidup pada zaman Nabi Musa alaihissalam. Istilah atau nama Qarun (قارون) dinyatakan sebanyak 4 kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Qasas ayat 76, surah al-Qasas ayat 79, surah al-Ankabut ayat 39 dan juga surah Ghafir ayat 24.
- Sesungguhnya Qarun adalah daripada kalangan kaum Musa. Namun dia bertindak melampaui batas terhadap mereka dan Kami telah anugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepada beliau “Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”. Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan. Dia (Qarun) berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada padaku”. Dan apakah dia tidak mengetahui bahawa Allah telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang mana lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu tentang dosa-dosa mereka. (Surah al-Qasas, ayat 76-78).
- Dan dia tampil di hadapan kaumnya dalam keadaan segak berhias (dengan segala kebesaran yang dimiliki). Maka golongan yang tamakkan kehidupan dunia berkata “Alangkah baiknya kalau kita perolehi sepertimana yang diperolehi oleh Qarun, iaitu kekayaan yang melimpah dan kemuliaan yang besar”. (Surah al-Qasas, ayat 79).
- Dan Qarun, Fir`aun dan Haman, sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa alaihissalam dengan segala mukjizat yang jelas sebagai bukti kenabiannya , namun mereka tetap takabbur di muka bumi dan mereka tidak terlepas daripada azab perit Allah Taala. (Surah al-Ankabut, ayat 39).
- Dan sesungguhnya Kami telah utuskan Musa dengan ayat-ayat Kami dan kekuasaan yang jelas (hujjah yang nyata) kepada Fir-aun, Haman dan Qarun, lalu mereka mengatakan (menuduh Musa) sebagai ahli sihir yang menipu. (Surah Ghafir, ayat 23-24).
Berdasarkan empat petikan mafhum ayat-ayat yang tersebut di atas, penyebutan dan juga penampilan nama Qarun membawa kisah dan pengertiannya yang tersendiri.
- Dalam surah al-Qasas ayat 76, Allah Taala nyatakan nama Qarun sebagai bekas pengikut Nabi Musa (Hizbullah) yang paling warak lagi dermawan serta mahir menguasai Kitab Taurat tapi akhirnya kecundang dikuasai hawa nafsunya setelah beliau dikurniakan kekayaan yang melimpah ruah. Lantaran sifat dermawannya, Qarun sering didoakan oleh Kaum Bani Israel yang miskin agar beliau diberikan kekayaan supaya lebih senang untuk menderma kepada mereka yang miskin dan kurang bernasib baik. Malangnya setelah Qarun menjadi kaya, nafsu tamak halaba telah menguasai dirinya
- Dalam surah al-Qasas ayat 79, Allah Taala tampilkan nama Qarun yang penuh keangkuhan menjadi dambaan serta impian golongan manusia yang tamakkan harta kekayaan duniawi.
- Dalam surah al-Ankabut ayat 39, nama Qarun disebut terlebih dahulu daripada nama Fir`aun dan juga Haman (hizbusyaitan) lantaran sikap takabburnya yang begitu melampaui batas. Haman adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Fir`aun menjadi bertambah sesat dan kedua-dua mereka ini adalah daripada golongan orang-orang kafir yang menentang kerasulan Musa alaihissalam. Adapun Qarun pula, beliau adalah bekasan individu mukmin yang paling rapat dengan Nabi Musa tetapi akhirnya murtad dan menyertai hizbusyaitan untuk menentang Musa alaihissalam.
- Dalam konteks penentangan Nabi Musa terhadap kuasa kezaliman politik manusia, nama Qarun disebut selepas Fir`aun dan juga Haman sepertimana dalam surah Ghafir ayat 24. Sebagai makluman tambahan, pada zaman itu Fir`aun dan Haman yang berbangsa Qibti menguasai percaturan politik dan kerajaan. Manakala kaum Bani Israel hanyalah golongan bawahan yang sering menjadi mangsa penindasan Qibti kecuali Qarun.
Mudah-mudahan kisah Qarun dan hizbusyaitan ini dijadikan iktibar oleh sekalian pejuang Islam kontemporari terutama sekali para Wakil Rakyat yang menentang kezaliman hizbusyaitan agar tabah mengawal nafsu masing-masing selepas mendapat mandate daripada rakyat. Janganlah leka dengan setiap kemewahan duniawi yang dikecapi hasil daripada mandate tersebut dan janganlah juga terlalu asyik mengejar kemewahan hingga mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat.

No comments:
Post a Comment