PERKATAAN barah atau kanser itu saja sudah menakutkan apatah lagi jika
ianya menyerang hati. Barah hati adalah antara barah paling biasa di
seluruh dunia dan apa yang menyedihkan ialah kebanyakan kes hanya
dikesan apabila ia sudah sampai ke peringkat serius.
Keadaan yang sama berlaku di negara kita kerana serangan barah hati
tidak menunjukkan sebarang tanda sehinggalah ia memasuki peringkat
ketiga atau keempat iaitu apabila fungsi hati terjejas teruk.
Di Malaysia, barah hati menduduki tangga ke-10 bagi lelaki dan ke-15
bagi perempuan. Dianggarkan bagi setiap 100,000 penduduk, 378 lelaki dan
150 wanita menghidap barah hati. Namun jumlah sebenarnya mungkin jauh
lebih tinggi kerana masih banyak kes yang tidak dilaporkan.
Menurut Perunding Onkologi Klinikal, Dr Chong Kwang Jeat, barah hati
atau hepatoselular karsinoma (HCC) adalah jenis barah keenam yang paling
menular di dunia dan punca ketiga kematian yang dikaitkan dengan
kanser. Kes tertinggi berlaku di kalangan orang Cina diikuti Melayu dan
India.
Kajian mendapati lebih 600,000 kes kanser hati disahkan di seluruh
dunia setiap tahun dan angka ini terus meningkat. Angka kematian yang
paling tinggi dicatatkan di Rantau Asia Timur terutama di China
(anggaran 322,000 kematian daripada 346,000 kes) Jepun (36,000
kes),Taiwan (7,000 kes) dan Korea Selatan (5,000) kes berbanding Eropah
(50,000 kes) dan Amerika Syarikat (13,000 kes). (rujuk jadual 1)
Taburan yang tidak sekata ini disebabkan faktor risiko utama barah
hati iaitu jangkitan hepatitis B kronik yang lebih banyak berlaku di
rantau Asia.
Lebih 90 peratus pesakit yang dirawat mempunyai masalah sirosis hati
iaitu kerosakan sel hati dan kehadiran parut akibat jangkitan virus
hepatitis B.
Jangkitan virus hepatis B inilah yang menyebabkan jumlah kematian
tinggi di kalangan penduduk Asia Pasifik. Sehingga kini dianggarkan 275
juta penduduk di rantau ini menghidap jangkitan hepatitis B kronik.
Selain itu kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit
menyebabkan jumlah kematian yang tinggi ini, apatah lagi barah hati
tidak menunjukkan tanda jelas dan hanya muncul apabila penyakit sudah
teruk iaitu ketika fungsi hati mulai terjejas.
Hati adalah organ dalam badan yang paling besar. Ia terletak
betul-betul di bawah tulang rusuk kanan, di bawah paru-paru. Hati kita
berbentuk seperti piramid dan terbahagi kepada dua bahagian - kiri dan
kanan.
Tidak seperti organ lain, hati menerima bekalan darah dari dua sumber
iaitu daripada arteri hepatik (membekalkan darah beroksigen) dan portal
vena yang membawa darah mengandungi nutrien dari usus kecil ke hati.
Hati ada banyak fungsi dan antara yang penting ialah:
l Memecah dan menyimpan banyak nutrien yang diserap dari usus kecil.
l Menghasilkan faktor pembekuan darah (bagi menghentikan pendarahan apabila kita mengalami kecederaan)
l Merembeskan hempedu ke dalam usus kecil bagi membantu menyerap nutrien
l Menapis dan menyingkirkan sisa toksik dari badan
Barah hati terbahagi kepada dua jenis iaitu primer dan sekunder. Barah
hati primer bermakna barah bermula di hati. Manakala barah hati sekunder
bermakna sel kanser berasal dari organ lain dan merebak ke hati.
Bagaimana barah hati boleh terjadi? Dr Chong berkata ada banyak faktor
yang boleh menyumbang kepada penyakit ini tetapi penyebab utama ialah
jangkitan virus hepatitis B yang kronik sehingga menyebabkan sirosis.
Antara faktor risiko barah hati ialah:
l Jangkitan hepatitis B kronik (virus hepatitis B sangat mudah
berjangkit melalui hubungan seks, pemindahan darah dan kelahiran; 100
kali lebih mudah daripada virus HIV)
l Jangkitan hepatitis C dengan kehadiran masalah sirosis hati
l Sirosis yang sudah merebak hingga jejaskan fungsi hati
l Obesiti
l Diabetes
l Merokok
l Penggunaan steroid dalam tempoh lama
l Jangkitan fungus
“Kebanyakan pesakit berusia dalam lingkungan 30 tahun ke atas kerana
virus hepatitis B mengambil masa yang agak lama untuk merosakkan hati
dan biasanya kerosakan ini berlaku dengan cepat. Lebih membimbangkan
ialah peningkatan jumlah kes yang baru dikesan.
“Dalam kebanyakan kes barah hati peringkat awal tidak mempunyai
sebarang tanda atau gejala. Apabila ada gejala, itu menandakan barah
hati sudah sampai ke peringkat serius. Inilah sebabnya individu yang
berisiko tinggi disaran menjalani pemeriksaan,” katanya.
Ada beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk mengesan barah hati
ialah ujian darah AFP iaitu untuk menguji kehadiran protein alfa-feto.
Pesakit barah hati akan mempunyai tahap AFP yang tinggi.
Kaedah kedua ialah ujian pengimejan hati untuk melihat fungsi hati.
Biasanya pesakit barah hati menunjukkan fungsi hati yang tidak normal
(disebabkan kerosakan sel hati dan parut pada hati).
Antara gejala yang dialami pesakit barah hati ialah:
l Penurunan berat badan tanpa sebab
l Tiada selera makan berpanjangan
l Terasa sangat kenyang walaupun makan sedikit
l Ada benjolan keras pada bahagian kanan di bawah tulang rusuk
l Sakit sekitar bahu kanan
l Kulit menjadi kekuningan termasuk mata
l Abdomen atas (kanan) terasa tidak selesa
l Sentiasa berasa lesu dan tidak bermaya
l Mual
Semua gejala di atas hanya muncul apabila kanser sudah sampai ke
peringkat serius yang menyebabkan kebanyakan pesakit lewat datang ke
hospital bagi mendapatkan rawatan. Sedihnya, pada peringkat ini penyakit
sukar dirawat dan dalam kebanyakan kes peluang untuk hidup adalah
kurang daripada satu tahun.
Katanya, sel kanser mempunyai ciri yang sangat unik kerana ia:
l Memasuki aliran darah yang memudahkannya merebak dan menyebabkan kerosakan pada organ lain
l Boleh hidup lama
l Mempunyai keupayaan untuk merebak pada sel organ lain (metastasis)
l Mempunyai kebolehan untuk menggandakan sel dan terus hidup
l Boleh membentuk salur darah baru (tidak normal) untuk mendapat oksigen
dan nutrien bagi terus hidup (angiogenesis). Ia boleh digambarkan
seperti pemasangan paip air baru untuk mencuri bekalan air daripada paip
utama.
Rawatan
Menurut Pengarah Jabatan Ubatan Dalaman, Universiti Mainz, Jerman,
Profesor Dr Peter Galle, barah hati adalah penyakit boleh membawa maut
yang selalunya lambat dikesan. Pada umumnya barah dirawat dengan memberi
ubat anti barah melalui kemoterapi dan radioterapi.
Bagaimanapun dalam kes barah hati, rawatan lebih mencabar kerana
ketoksikan ubat anti barah meningkat apabila fungsi hati terjejas dan 70
hingga 80 peratus pesakit menunjukkan penerimaan badan yang lemah
terhadap rawatan.
Beliau menggariskan empat strategi rawatan untuk barah hati iaitu
perlindungan (melalui pengambilan vaksin hepatitis B), pengesanan awal
(ujian), rawatan awal dan bertepatan serta rehabilitasi.
Rawatan barah hati bergantung kepada peringkat barah ketika penyakit dikesan.
Biasanya bagi kes barah hati peringkat awal pembedahan yang membabitkan
pembuangan sebahagian hati yang diserang barah adalah kaedah terbaik.
Malah peluang sembuh juga tinggi. Bagaimanapun secara purata hanya 15
peratus saja pesakit yang boleh dibedah.
Secara umum rawatan barah mempunyai enam kaedah iaitu pembedahan (tanpa
penggantian hati), pembedahan penggantian hati (transplan), suntikan
etanol, ablasi radiofrekuensi (pembakaran sel barah menggunakan
gelombang radiofrekuensi), suntikan ubat kemoterapi pada salur darah
yang membawa darah.
“Malangnya rawatan standard sedia ada tidak berkesan untuk merawat
pesakit barah peringkat akhir. Sebelum ini pesakit barah hati peringkat
akhir tidak mempunyai pilihan rawatan yang berkesan dan ramai mati dalam
masa setahun selepas diagnosis disahkan. Kini dengan adanya ubat baru,
sorafenib, peluang hidup dapat ditingkatkan sebanyak 44 peratus.
“Sorafenib adalah ubat yang dikhususkan untuk kes barah kanser
peringkat teruk. Ia berfungsi menghalang penggandaan sel barah dan
menghentikan pembentukan salur darah tidak normal. Melalui kaedah ini
sel barah akan mati kerana ketiadaan oksigen dan nutrien,” katanya.
Perunding Onkologi Hospital Universiti Nasional Taiwan, Dr Chiun Hsu
berkata peluang keterusan hidup pesakit barah hati pada umumnya adalah
sangat rendah.
Berdasarkan keterusan hidup selama lima tahun, kajian seluruh dunia mendapati peluangnya adalah kurang daripada 10 peratus.
Kehadiran sorafenib memberi harapan baru kepada pesakit barah hati
tetapi kajian perlu dilakukan ke atas penduduk Asia kerana penerimaan
badan penduduk Asia terhadap sesuatu ubat tidak sama dengan penduduk
Barat.
Berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas pesakit di Taiwan didapati
sorafenib terbukti dapat membantu meningkatkan peluang hidup pesakit di
negara berkenaan sebanyak 47 peratus.
Ubat yang diberikan dalam bentuk pil makan itu boleh dijadikan sebagai
pilihan ubat untuk merawat kes barah hati peringkat teruk.
Berita baiknya, selain barah hati sorafenib yang bertindak secara
sistemik (keseluruhan badan) itu juga kini digunakan untuk merawat barah
buah pinggang peringkat teruk.
No comments:
Post a Comment